
Dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling, Kuala Lumpur adalah tidak benar dan merupakan satu rekayasa tidak berasas yang mahu mengganggu-gugat perpaduan rakyat negara ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan tersebut.
"Kerajaan sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti setiap kaum di Malaysia, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang negara ini.
"Pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas ini harus bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan.
"Sebagai pemimpin yang berpengalaman lama dalam arena politik, seharusnya kita lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada umum," katanya dalam kenyataan.
Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan perpaduan masyarakat terus terpelihara daripada sebarang ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya menyeru semua pihak agar menyemak fakta sebelum berkongsi maklumat dan memastikan setiap informasi yang disebarkan diperoleh daripada sumber yang sahih," katanya.
Jelas beliau penyebaran dakwaan yang palsu dan tidak tepat bukan sahaja mencetuskan keresahan malah boleh merosakkan perpaduan dalam masyarakat.
Katanya, dalam suasana politik dan sosial yang semakin mencabar, semua pihak perlu lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecahbelahkan rakyat di negara ini, katanya.
Jelasnya rakyat di negara ini perlu menghormati identiti dan warisan setiap kaum di Malaysia dan mengelak daripada menangguk di air yang keruh hanya semata-mata untuk meraih kepentingan politik sempit.
"Kepelbagaian budaya dan identiti kaum sentiasa diraikan dalam semangat perpaduan seperti termaktub dalam ikrar Rukun Negara yang sekian lama dihayati bersama.
"Oleh itu, kita harus bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan ini dan tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak yang cuba memainkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian bersama," ujarnya.
Kommentare