Muktamar Tahunan Pas ke-70 minggu lalu dianggap sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam parti di bawah kepimpinan Presidennya Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang, termasuk menyifatkan kerajaan sekarang seakan-akan golongan munafik di Madinah pada zaman awal Islam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, sejak empat dekad lalu identiti Hj Hadi sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfiri di negara ini.
Sedangkan kata Saifuddin, fakta sejarah menunjukkan Madinah diperintah oleh Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda yang beriman, bukannya golongan munafiqun.
"Oleh itu, perbandingan antara Kerajaan Perpaduan hari ini dengan golongan munafiqun di Madinah tidak tepat dan mengelirukan.
"Dari sudut agama, tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah SWT dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai kritikan Pas terhadap industri judi dan arak, Saifuddin mengingatkan bahawa semasa Pas dalam Kerajaan Persekutuan (2020- 2022) tidak pula parti itu berusaha untuk mengharamkan arak atau perjudian, menunjukkan isu tersebut adalah rumit.
"Selama 30 bulan lebih Pas menyertai kerajaan PN membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.
"Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri (pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan)," bidasnya.
Tambah Menteri Dalam Negeri itu, ketika Rasulullah SAW telah mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan orang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah, Hj Hadi sentiasa bertindak sebaliknya dengan melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan antara rakyat berbagai agama.
"Rasulullah menyampaikan risalahnya dengan mau'idzah dan hikmah. (Manakala) Abdul Hadi didorongi kebencian dan kemarahan dan membudayakan caci-cerca, herdik-mengherdik dan memaki hamun di dalam Pas," ujarnya.
Saifuddin berkata, Pas hari ini telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Prof Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Datuk Fadzil Noor, Ust Yusuf Rawa dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya lagi, pemimpin Pas sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengikuti kerajaan hidayah dan Hj Hadi mengkritik Kerajaan Perpaduan MADANI sebagai kerajaan jibayah (kebendaan).
"Bagaimanapun, usaha Kerajaan MADANI meningkatkan ekonomi negara untuk membantu rakyat terbukti berhasil, manakala cubaan lemah Pas merosakkan kepercayaan pelabur menunjukkan perjuangan politik yang hipokrit dan berlandaskan fitnah.
"Kita harus mengelakkan retorik yang memecah-belahkan, sebaliknya mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara.
"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlulah berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan," ujarnya lagi.
Comentários