Kerajaan Madani tidak boleh dipersalahkan kerana melaksanakan polisi penyasaran subsidi dengan menghapus subsidi pukal diesel mulai tengah malam tadi.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, tawaran kempen Pakatan Rakyat (PR) sebelum pilihan raya umum 2013 lalu untuk menurunkan harga minyak juga tidak boleh diambil kira menghadapi situasi semasa.
Menurut Rafizi, janji harga minyak akan diturunkan sekiranya PR menang kerana subsidi ke atas petrol dan diesel pada waktu itu tidak melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan, dan harga minyak mentah dunia pula rendah sekitar AS$50 - AS$60 setong.
"Zaman dulu minyak (RON 95) berharga RM1.90 seliter, tahu tak harga minyak mentah berapa masa itu?
"Masa itu berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja. Kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih. Sekarang subsidi RM60 bilion, harga minyak mentah AS$80 setong.
"Kenapa nak hapus subsidi? Sekarang bila subsidi RM60 bilion, nak buat sekolah tak boleh, naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga minyak rendah itu, yang dapatnya orang kaya.
"Bukankah lebih baik kita alih subsidi itu (kepada rakyat), bukannya kita batalkan. Alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi," katanya ketika menjawab teriakan sinis seorang penyokong PN sewaktu Pelancaran Jentera Perpaduan DUN Sungai Bakap malam tadi.
Tegas Rafizi, pada waktu ini rakyat perlu memilih sama ada mahu mengekalkan dasar kerajaan yang memberi subsidi pukal dan dibayar kepada syarikat minyak atau wang subsidi itu diberi secara langsung kepada mereka. Manakala penjimatannya boleh digunakan untuk membaiki kemudahan awam.
"Semua kenderaan awam (guna diesel) dapat (tunai), lori dapat, pick up semua dapat, yang berniaga dapat. Malah orang biasa (pemilik kenderaan), asalkan kamu ada kenderaan diesel dan gaji kamu RM100,000 ke bawah setahun kamu dapat RM200 sebulan.
"Zaman dulu tak macam itu, naik terus (tiada pemberian bulanan)
"Rakyat kena pilih, nak subsidi pukal RM60 bilion setahun dibayar ke syarikat minyak atau kita agihkan kepada keluarga. Biar keluarga dapat subsidi minyak tiap bulan RM200, RM300 atau RM400 (syarikat kecil)
"Saya yakin rakyat dapat melihat lebih baik subsidi pergi ke keluarga daripada orang kata minyak murah tetapi RM60 bilion pergi ke syarikat minyak dalam keadaan negara tak mampu nak tanggung subsidi," katanya lagi.
Mulai malam tadi subsidi tidak lagi diberikan secara pukal ke atas bahan api diesel di Semenanjung Malaysia.
Harga diesel yang diapungkan melonjak daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter. Subsidi dialihkan secara pemberian melalui fleet card bagi pengangkutan awam dan perniagaan besar, subsidi khusus kepada petani dan nelayan dan pemberian tunai RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel individu.
Comments