top of page

Daerah menua: Rangka strategi beri nafas baharu ekonomi Segamat



Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan dicadangkan merangka strategi efektif bagi membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan peluang pekerjaan kepada anak muda di daerah Segamat.


Ahli Parlimennya, R Yuneswaran berkata, faktor Segamat sebagai daerah menua dilihat menjadi punca golongan belia berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari peluang pekerjaan.


Menurut beliau, sekiranya perkara itu tidak diatasi dibimbangi faktor itu boleh menjadi penyumbang kepada meningkatnya kadar kemiskinan di kawasan tersebut.


"Salah satu langkah yang perlu diambil oleh kerajaan adalah memperluas kawasan perindustrian sedia ada serta membuka kawasan-kawasan baharu untuk pelaburan industri.


"Dengan menyediakan infrastruktur yang kukuh dan mempromosikan fleksibiliti dalam peraturan perniagaan, Segamat mampu menarik pelabur dan membuka pelbagai peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan.


Malah, kata Yuneswaran, aspek kemahiran dan pendidikan juga perlu diberi perhatian termasuk pendidikan vokasional dan latihan bagi meningkatkan skil anak muda tempatan.


"Usaha ini akan meningkatkan daya saing pekerja dan memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik.


"Prestasi pendidikan formal juga harus dipertingkatkan dengan sokongan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif," katanya.


Dalam pada itu, beliau menyarankan agar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dimantapkan supaya penduduk tempatan mendapat manfaat kesihatan, pendidikan, dan pembangunan kemasyarakatan.


Usaha itu katanya, diyakini dapat mengurangkan migrasi penduduk ke kawasan bandar dan menangani masalah kemiskinan di daerah berkenaan.


Untuk rekod, Segamat disenaraikan antara 11 daerah yang dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai 7%.


Selain Segamat, Beluru, Telang Usan, Mukah di Sarawak, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor di Selangor, Muallim (Perak), Tenom (Sabah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) turut menghadapi situasi yang sama.

0 comments

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page