Ibu bapa digesa lebih berwaspada kepada pembelian dalam talian anak-anak mereka berhubung penyalahgunaan dadah jenis baharu.
Menurut Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi, sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat peningkatan penjualan dadah jenis xylazine, atau tranq secara dalam talian.
Dadah jenis tersebut yang juga dikenali sebagai 'dadah zombie', katanya, telah diletakkan sebagai ancaman utama oleh semua peringkat pentadbiran di Amerika Syarikat.
"Menurut Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) yang dilaporkan AFP, serbuk xylazine boleh dibeli secara dalam talian daripada pembekal dengan hanya harga serendah RM24 sehingga RM80 bagi satu kilogram.
"Menurut The New York Post, hospital jarang menguji xylazine dengan ujian toksikologi biasa kerana tranq tidak diklasifikasikan sebagai bahan kawalan untuk manusia atau haiwan.
"Ia menimbulkan masalah kerana bahan itu tidak dianggap seperti dadah lain di pasaran," katanya dalam kenyataan tersebut.
Difahamkan, pengambilan dadah zombie atau xylazine boleh menurunkan tekanan darah serta kadar denyutan jantung seseorang ke tahap sangat rendah dan boleh menyebabkan ulser kulit dan kudis yang boleh menyebabkan anggota badan dipotong.
Menurut Azizan lagi, Xylazine juga mendorong simptom seperti sedatif, mengantuk berlebihan dan masalah pernafasan serta kudis yang boleh menjadi serius dan merebak dengan cepat menyebabkan individu berkenaan tidak ubah seperti zombie atau mayat hidup.
"Pemantauan ibubapa kepada pembelian secara dalam talian barangan yang meragukan ini oleh anak-anak atau remaja akan mampu mengekang penularan penggunaan dadah jenis zombie ini di Malaysia," katanya.
Raja Azizan menyarankan ibu bapa menghubungi talian helpline MASAC di 017-322 6380 sekiranya memerlukan maklumat lanjut berkaitan isu dadah.
MASAC juga menggesa Kerajaan untuk merangka perundangan yang lebih holistik berkenaan bahan xylazine bagi mengekang aktiviti penjualan dan pembelian berkait bahan tersebut di Malaysia sebelum ia menjadi barah pemusnah seperti di negara lain.
Comments