Ahli Parlimen (MP) Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menyambut baik titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan penukaran cuti hujung minggu dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad yang akan bermula mulai 1 Januari 2025.
Katanya, keputusan berkenaan selaras dengan hari kerja pihak swasta di seluruh negara, yang mana akan memudahkan urusan perniagaan terutamanya melibatkan syarikat-syarikat yang berurusan dengan pihak di luar negeri Johor sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
"Langkah ini dijangka akan memperkasa kerjasama perniagaan dan meningkatkan daya saing syarikat-syarikat di Johor.
"Selain itu, titah ini juga akan memberi banyak kelebihan kepada ibu bapa kerana cuti sekolah akan diselaraskan dengan cuti hujung minggu, membolehkan keluarga meluangkan lebih banyak masa yang berkualiti bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jimmy Puah, dengan pelaksanaan titah itu produktiviti negeri Johor mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan bakal dipacu dengan lebih pesat.
"Titah ini merupakan satu langkah yang tepat untuk memastikan Johor terus maju dan seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia serta di persada antarabangsa.
"Selaras dengan titah itu saya juga berharap kerajaan Johor boleh mengumumkan 1 Januari sebagai cuti umum bagi menyenangkan urusan perniagaan dan sosial," katanya lagi.
Comentarios