top of page

Cuti haid: Rina, Zailah elok tumpu kemiskinan haid terlebih dahulu - Aiman Athirah



Cadangan untuk memperkenalkan cuti haid bagi memudahkan pekerja wanita yang menghadapi masalah kesakitan apabila datang bulan di negara ini tidak harus dijadikan keutamaan.


Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu berkata, terdapat isu yang lebih besar perlu ditangani oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, misalnya kemiskinan haid yang masih jauh daripada diselesaikan.


"Di Malaysia, Kementerian Sumber Manusia telah menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta untuk melaksanakan dasar cuti haid mengikut keputusan sendiri tanpa perlu menunggu kerajaan menggubalnya.


"GLC dan firma swasta bebas menambah cuti haid kepada pekerja wanita di dalam polisi syarikat masing-masing dan boleh membincangkan isu tersebut dengan kesatuan pekerja serta pihak-pihak yang berkaitan.


"Untuk membolehkan cuti haid dimasukkan ke dalam undang-undang, ianya memerlukan banyak masa dan kajian mendalam kerana inisiatif yang sedang diperdebatkan ini boleh menandakan kemajuan sesebuah negara tetapi tanpa disedari akan mengehadkan kerjaya wanita," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ketua Wanita Amanah itu, cuti haid juga masih menghadapi pro dan kontra tidak berkesudahan dalam kalangan majikan di negara ini biar pun banyak negara termasuk di Asia Tenggara seperti Indonesia telah menggubal undang undang untuk cuti tersebut.


"Di satu sisi, dengan melaksanakan cuti haid, ia akan meningkatkan hak wanita dan dilihat sebagai satu langkah progresif oleh pihak kerajaan.


"Namun pada sisi lain, jika inisiatif cuti haid dilaksanakan wanita berkemungkinan kurang diambil oleh pihak majikan dan sedikit sebanyak akan menjejaskan kerjaya seseorang wanita.


"Berbanding cadangan pemberian cuti haid, saya lebih cenderung mencadangkan agar Menteri dan Timbalan Menteri Wanita memberikan tumpuan kepada usaha menangani masalah kemiskinan haid dalam negara kita, di samping memperkenal sekaligus melaksanakan insentif-insentif khas penjagaan dan rawatan kesihatan wanita terkait masalah haid ini," katanya.


Tambah mantan Senator Dewan Negara itu, kemiskinan haid tidak hanya di sekitar pemberian subsidi untuk tuala wanita sebagaimana diumum dalam Belanjawan 2022 atau kerajaan berjanji untuk menyediakan kit kebersihan diri kepada 130,000 remaja perempuan daripada keluarga B40


Katanya, kemiskinan haid merangkumi pelbagai faktor yang lebih rumit.


"Kemiskinan haid meliputi aspek lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.


"Iaitu meliputi akses kepada produk sanitari; ilmu dan didikan tentang haid; akses kepada infrastruktur sanitari dan privasi untuk menukar tuala wanita," katanya.


Aiman mendedahkan, pada 2018 Bank Dunia menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau diistilahkan sebagai “kemiskinan haid”.


Malaysia juga, katanya berdepan masalah yang sama namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka bahkan masih menjadi satu stigma menyebabkan sehingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan tersebut.


Sementara di belahan dunia lain, kata Aiman, banyak negara seperti Britain, Scotland, Peranchis, Sepanyol dan New Zealand yang merangkumkan kerjasama di antara kerajaan dan badan-badan NGO. Bahkan di Britain, kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk petugas khas jabatan kerajaan, badan kebajikan dan perusahaan persendirian bagi menangani isu kemiskinan haid.


"Malaysia perlu efektif bergerak segera ke hadapan mengurus isu ini sekaligus menangani kemiskinan haid secara konstruktif," ujar Aiman lagi.


Kelmarin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusuff berkata Kerajaan sedang melaksanakan kajian mengenai kemungkinan memberi cuti haid kepada wanita yang bekerja.


Satu kajian membabitkan 57,000 responden sedang dijalankan dan kajian itu dijangka siap pada Oktober ini.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page