
Ahli Parlimen (MP) Pengkalan Chepa, Dr Ahmad Marzuk Shaary yang dilihat cuba melakukan hasutan mungkin dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada perhatian Kabinet kerana wakil rakyat Pas itu cuba membangkitkan sentimen ketika persidangan Parlimen.
"Saya akan bawa perkara itu kepada perhatian Kabinet kerana ini seperti satu percubaan hasutan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau (Ahmad Marzuk) sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen dan cuba bangkitkan hal seperti ini," katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Marzuk bahawa cadangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) supaya Akta Anti Diskriminasi Kaum perlu digubal, mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan berulangnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Ahli Parlimen termasuk pembangkang diingatkan agar membahaskan perkara yang boleh membantu memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan tidak membangkitkan isu berunsur hasutan.
Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 sebelum ini yang mengingatkan semua wakil rakyat bahawa Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
"Saya lihat ramai Ahli Parlimen terutama pihak pembangkang sangat tidak bertanggungjawab dan mereka sepatutnya mendengar serta mengikut titah nasihat Tuanku supaya menggunakan dewan untuk membahaskan perkara yang benar-benar boleh bantu pupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membina sebuah negara bangsa berjaya.
"Bukan cuba mengapi-apikan atau menakut-nakutkan (dengan unsur hasutan)," katanya.
Comments