Mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri boleh membangunkan zon ekonomi baharu solar tanpa dibayangi karenah birokrasi.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperkenal Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi mempermudah dan meningkatkan akses termasuk kepada pihak swasta dalam pembekalan elektrik hijau.
"Dasar baharu tersebut membolehkan urusan hanya melibatkan dua pihak, iaitu pembekal dan pembeli tanpa terikat lagi pada dasar lama.
"Ini selaras dengan pelan peralihan tenaga negara, dari segi dasarnya telah diubah selepas kerajaan perkenalkan CRESS yang membolehkan membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik secara terus.
"Sebelum ini mungkin ada masalah kerana untuk ladang solar membekalkan tenaga elektrik kepada grid memerlukan kuota selain perlu tunggu projek Solar Berskala Besar (LSS) dan sebagainya," katanya dipetik pada sidang media selepas mengadakan sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi Negeri Kedah di Seri Mentaloon pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi yang hadir ke sesi itu mencadangkan supaya diwujudkan satu zon ekonomi khas bagi pembangunan projek tenaga solar di Kedah dengan pelbagai pakej insentif khas yang boleh disediakan kerajaan Persekutuan.
Mengulas cadangan itu Rafizi berkata, tidak ada halangan untuk Kerajaan Negeri menguruskan zon baharu solar kerana ia melibatkan penggunaan tanah yang di bawah bidang kuasa negeri dan isu lain sudah diselesaikan Kerajaan Persekutuan.
"Jika Kedah mahu bangunkan zon solar mereka yang perlu fikirkan akses tanah, dari segi premium, sama ada sewa atau sebagainya. Peranan Persekutuan dari segi jual beli dan sistem semuanya telah dipermudahkan," jelasnya.
Commentaires