top of page

Corak baharu pakaian atlet ke Olimpik 2024 bermotif belang harimau lebih 'garang'



Setelah dikritik hebat minggu oleh peminat sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini memperkenalkan corak baharu pakaian rasmi atlet Malaysia ke temasya Olimpik Paris 2024 dengan menampilkan motif belang harimau yang lebih 'garang' dan menyeluruh pada jaket dan kameja-T terbabit.


Dengan tidak lagi menyelimut contoh reka bentuk pakaian itu dengan kain hitam dan menggunakan patung, MOM sebaliknya menggunakan pemain beregu badminton negara yang akan ke Olimpik, Aaron Chia dan Soh Woi Yik untuk menjadi model.


Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, reka corak baharu itu melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.


"Susulan maklum balas yang bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif Harimau yang dilihat tidak menyerlah, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.


"Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket," katanya dalam kenyataan hari ini.


Norza berkata logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna rasminya diiringi lima gegelung Olimpik berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.


"Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti.


"Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan," ujarnya.


Kata beliau MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.


Bagaimanapun, Norza berkata logo Yonex atau YY tidak dipaparkan pada kedua-dua jaket dan kameja-T kerana atas faktor masa untuk memeterai perjanjian baharu dengan syarikat penaja pakaian rasmi kontinjen Malaysia itu.


"Proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan perjanjian di antara Yonex dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.


"Maka Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa," jelasnya.


"MOM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia, atas kesediaan mereka membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza."


Norza berkata MOM juga amat menghargai kesudian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menghormati kedudukan majlis itu sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) sejak 1954.


"Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page