Oleh: Abdullah Zaid
Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin berharap pengundi mengambil kesempatan untuk keluar mengundi di pusat-pusat pengundian yang disediakan sebelum pusat berkenaan ditutup jam 6.00 petang nanti.
Menurutnya, pengundi yang berdaftar perlu mengambil kesempatan dengan keadaan cuaca yang baik pada tengahari ini untuk keluar membuat pilihan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berharap pengundi terutama penyokong Pakatan Harapan - Perpaduan bersemangat untuk keluar mengundi bagi menentukan masa hadapan mereka selama 3 - 4 tahun akan datang.
Beliau berharap demikian ketika melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri pagi ini.
"Setakat yang saya perhati di sini peratus keluar mengundi ramai dan ini merupakan lawatan pertama, jadi saya harap ia akan berterusan hingga ke petang.
"Saya juga yakin untuk kita tembus kerusi ini kerana pengundi Sungai Duri bijak membuat pilihan dan kawasan ini juga tidak asing bagi saya," katanya.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar membuang undi hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu.
Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff akibat keradangan dalam perut, pada 24 Mei lalu.
Comments