Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Sebagai Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat penulis kerap diajukan dengan soalan-soalan begini; Benarkan berita sipolan sipolan rasuah? Betulkan cerita sipolan itu terlibat skandal dengan artis itu ini? Betulkan Kerajaan Madani menzalim rakyat? Dan pelbagai lagi soalan-soalan yang berkaitan pemimpin khasnya yang menyentuh PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Soalan yang dikemukakan kepada penulis bukan sahaja sewaktu dalam program turun padang di seluruh Malaysia khasnya di kawasan pedalaman malah juga melalui melalui WhatsApp serta talian media sosial yang lain.
Lagi banyak berita-berita tersebar di media massa atau media sosial lagilah bertubi-tubi penulis menerima pertanyaan demi pertanyaan (tanpa mengira waktu) daripada mereka yang memerlukan pencerahan terutama daripada anggota akar umbi, kenalan atau orang ramai.
Sudah menjadi tanggungjawab penulis untuk membuat pencerahan sama ada melalui penerangan secara lisan atau pun melalui penulisan, berita, rencana atau ulasan dalam mana-mana portal yang bersesuaian.
Soalan tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan apatah lagi membiarkan yang bertanya itu membuat `jawapan sendiri’ tanpa dibekalkan dengan fakta sahih sebagai panduan.
Kegigihan yang bertanya ini patutlah dipuji serta dihargai. Mereka tidak tengelam dengan berita-berita palsu dan mahu menjadi agen penerangan yang boleh diharapkan serta membantu memudahkan penyaluran maklumat kepada masyarakat.
Yang patut dipuji juga adalah sikap ambil tahu mereka kerana mengambil langkah mencari kesahihan berita serta sering bertanya soalan-soalan bagi mencari kebenaran.
Ada waktunya pertanyaan daripada mereka amat mencabar dan memerlukan penulis membuat semakan fakta daripada sumber yang sah khasnya berkaitan dengan Kerajaan Madani. Ia menuntut waktu tambahan jika penulis sedang dalam program atau semasa diskusi.
Chatbot Sebenarnya.my aplikasi terbaik
Terkini, penulis amat berterima kasih kepada Chatbot Sebenarnya.my kerana tugasan Biro Penerangan menjadi lebih mudah dengan adanya aplikasi itu yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Putrajaya petang semalam.
Chatbot Sebenarnya.my amat membantu dalam usaha mencari fakta benar dan memerangi berita palsu serta fitnah yang semakin membarah di negara ini.
Rakyat boleh memeriksa kesahihan berita dengan mudah serta pantas daripada sumber yang diyakini dan sah.
Ia dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan merupakan platform yang berfungi 24 jam dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali ‘Artificial Intelligence Fact-check Assistant' (AIFA) merupakan carian pantas untuk pengguna media sosial menentukan sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.
Umumnya, Chatbot Sebenarnya.my ini mempunyai tiga fungsi utama - membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di negara ini.
Berikutan meluasnya penyebaran berita-berita palsu di pelbagai platform media sosial kebelakangan ini, adanya chatbot ini adalah penyelesaian paling bermanfaat buat rakyat.
Ini kerana mereka sekarang dengan mudah boleh memeriksa sebaik saja membaca atau menerima sesuatu berita yang disebarkan di media sosial.
Awas kaki fitnah
Dalam erti kata lain, Chatbot Sebenarnya.my ini adalah “pembunuh” kepada kaki kaki fitnah yang sedang bertebaran di alam maya.
Awas kaki fitnah jangan sebarangan menyebar berita. Rakyat Malaysia semakin cerdik, fitnah kalian bakal dinilai dengan pantas.
Apatah lagi, sebagaimana dinyatakan Fahmi dalam ucapan perasmiannya menegaskan, Chatbot Sebenarnya.my turut boleh diakses menerusi aplikasi WhatsApp dan portal Sebenarnya.my. serta tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
"AIFA adalah alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat yang disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
"Dengan kemudahan ini, MCMC menawarkan kepada rakyat cara yang mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian," katanya.
AIFA juga, kata beliau, berperanan meningkatkan fungsi Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama iaitu membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan portal itu dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia.
Begitu pun menurut Fahmi, ketika ini AIFA hanya menerima input teks untuk diperiksa namun ia akan diperluaskan dalam format seperti video, grafik dan sebagainya pada masa hadapan.
Hakikatnya, penyebar berita palsu dan kaki fitnah sedang menuju 'jalan mati' dengan adanya Chatbot Sebenarnya.my.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments