Oleh: Akmal Manaf
Semua golongan masyarakat mengalu alukan aplikasi terbaharu yang dilancarkan kerajaan dalam memerangi maklumat atau berita palsu menerusi Chatbox Sebenarnya.my.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berpendapat, aplikasi yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu perlu diuar-uarkan kepada seluruh komuniti seperti masjid, surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memanfaatkan kemudahan disediakan oleh pihak kerajaan.
''Masyarakat perlu belajar untuk memilih berita-berita yang tepat dan benar supaya kita tidak berkongsi berita palsu yang boleh memudaratkan semua pihak.
''Ini kerana berita palsu semestinya akan menjadi berita yang salah. Jadi kita kena selamatkan diri, keluarga kita dan masyarakat dengan mendapatkan berita yang tepat dan benar,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai pelancaran Chatbox itu minggu lalu yang berupaya membantu masyarakat menyemak sama ada sesuatu berita itu palsu atau benar.
Ditanya tentang kemampuan Kerajaan MADANI membangunkan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengekang fitnah sekali gus menggambarkan teknologi digital Malaysia setanding negara maju, beliau bersetuju dengan perkara tersebut.
''Ya memang benar. Dari sudut teknologi, kita juga bersaing dengan beberapa negara lain di dunia antaranya Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China,'' ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden KEADILAN.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin menyifatkan pelancaran itu sebagai satu usaha yang sangat bagus kerana isu scam dan berita palsu sangat berleluasa dalam dunia siber.
Katanya, ramai golongan masyarakat bukan hanya orang tua, namun golongan muda juga terjebak dengan berita palsu.
''Chatbox yang menggunakan AI (kecerdasan buatan) itu sangat bagus. Walau bagaimanapun saya rasa kita juga perlu melihat kepada tahap keupayaan AI itu untuk berfungsi.
''AI memerlukan masa untuk mengumpulkan maklumat sama ada ianya benar atau palsu terutamanya maklumat terkini,'' katanya.
Menurut Bryan Ng lagi, langkah kerajaan mengaplikasikan penggunaan AI untuk membendung isu fitnah, telah meletakkan Malaysia di hadapan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, pada masa akan datang kerajaan perlu bekerjasama dengan pakar-pakar digital seperti dari negara jiran, Eropah, China atau Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan Malaysia terus berada dalam evolusi pendigitalan.
Comments