Pihak yang tidak berpuas hati terhadap insiden pendakwah tertentu yang dibatalkan kuliahnya di Selangor pada saat akhir seharusnya menghentikan tohmahan atau cercaan terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, hal itu kerana bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terletak di bawah Sultan Selangor, dan Tuanku menetapkan semua pendakwah yang mahu memberikan kuliah agama di Selangor perlu mempunyai tauliah.
"Isu berceramah di mana mana masjid dan surau di Selangor (di bawah) titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menetapkan mana mana penceramah harus memohon tauliah.
"Tujuannya untuk memastikan penceramah yang menyampaikan ilmu benar benar menyampai dan mengajar hal hal yang berkaitan agama Islam. Bukan berkempen politik atau menyebarkan ajaran yang menyeleweng serta bertentangan dengan syariat Islam.
"Ada beberapa penceramah yang dibatalkan program di saat akhir kerana didapati programnya tidak memohon tauliah," kata Zawawi kepada Suara Keadilan di Shah Alam, pagi tadi.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu menyeru mana mana pihak yang mahu memanggil pendakwah di masjid atau surau untuk memastikan terlebih dahulu mempunyai tauliah mengajar agama.
Beliau juga menjemput mana mana pendakwah yang mahu berdakwah memohon tauliah dari JAIS.
"Saya memohon mana mana pihak yang ingin menjemput penceramah supaya mendapatkan tauliah dari JAIS bagi membantu pihak kerajaan memastikan pengimarahan masjid dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan," katanya lagi.
Baru baru ini, kuliah penceramah terkenal ustaz Azhar Idrus di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong, Shah Alam pada 26 Febuari 2023 dibatalkan pada saat akhir.
Penyokong PN kemudiannya mentohmah kononnya kerajaan Selangor anti ulama dan menentang program pengimarahan masjid.
Comentários