Oleh: Akmal Manaf
Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya memuktamadkan perbincangan bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA), demikian maklum Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, CEPA bertujuan untuk menghapuskan atau menurunkan tarif, mengurangkan halangan perdagangan, memupuk kerjasama sektor swasta, dan mencipta peluang pelaburan baharu.
Ujarnya, sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang pertama dan bersejarah bagi Malaysia dengan sebuah negara Anggota Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC), CEPA diyakini akan meningkatkan perdagangan, merangsang pelaburan, dan memperdalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Kita menganggap UAE sebagai hab strategik bagi pengeksport Malaysia untuk mengakses pasaran di Timur Tengah, Afrika Utara dan beberapa pasaran di Eropah.
"Eksport Malaysia seperti elektrik dan elektronik, mesin, barang kemas, makanan diproses, buah-buahan tropika, minyak sawit, koko dan getah akan menikmati pelepasan cukai import serta-merta apabila perjanjian ini berkuat kuasa," maklum beliau menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu, Tengku Zafrul berkata CEPA juga membuka peluang strategik bagi syarikat yang berpusat di UAE untuk mengoptimumkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
"Ini seterusnya akan menyediakan peluang besar bagi perniagaan Malaysia terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana melalui integrasi ke dalam rantaian bekalan serantau, pengukuhan kapasiti dan perkongsian pengetahuan melalui pelabur UAE," ujarnya.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi bertujuan memastikan ratifikasi dan pelaksanaan CEPA dengan kadar segera.
Menurut Dr Thani pula, perjanjian berkenaan mencerminkan hubungan produktif yang telah berkembang antara UAE dan Malaysia serta Asia Tenggara secara keseluruhannya.
"Malaysia merupakan rakan perdagangan yang dipercayai, dan seperti UAE, sedang mencari peluang untuk meningkatkan prospek ekonomi melalui peluasan perdagangan dan pelaburan yang disasarkan," katanya lagi.
Comments