Ahli Parlimen Batu, Kuala Lumpur menggesa pihak berwajib mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu mendapan tanah di sekitar bandaraya itu terutama di Jalan Masjid India.
P Prabakaran berkata, isu mendapan tanah sudah berlarutan sejak tujuh tahun lalu namun sehingga kini belum ada penyelesaian konkrit menangani masalah berkenaan.
Justeru katanya, hal itu wajar ditangani segera memandangkan perkara itu membabitkan lokasi berniaga banyak pihak.
"Ini adalah isu keselamatan peniaga, jadi perlu ada perbincangan khas antara peniaga, DBKL, Indah Water Konsortium (IWK) dan lain-lain agensi yang berkenaan untuk memaklukan perkembangan isu ini (kepada peniaga).
"Sebab sekarang kawasan belakang (Jalan Masjid India) juga katanya ada (menunjukkan) tanda-tanda mendapan, ini adalah perkara serius, jadi perlu ada libat urus (peniaga dan DBKL) supaya tiada lagi kes seperti Vijayaletchumi," katanya dipetik.
Beliau ditemui ketika meninjau lokasi kejadian tanah pada Jumaat bersama persatuan peniaga di kawasan tersebut.
Sementara itu Prabakaran turut menyatakan kesediaan pihak peniaga melalui beberapa persatuan untuk membantu mencari penyelesaian bagi isu mendapan tanah di sana.
"Saya selaku Ahli Parlimen kerajaan, saya akan cuba bantu untuk libat urus kerana peniaga ada banyak cadangan untuk baiki kawasan ini.
"Tetapi mereka tiada platform untuk bangkitkan hal-hal berkenaan, tidak tahu mana mahu buat aduan. Jadi saya akan bantu untuk dapatkan mesyuarat dengan Datuk Bandar, Menteri dan agensi berkaitan," tambahnya.
Comments