Capaian Internet di DUN Ayer Kuning lebih baik setelah mendapat teguran
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Kecekapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengatasi masalah capaian internet yang lemah di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, mendapat pujian pihak terlibat iaitu pengamal media dan petugas pilihanraya.
Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur berhubung masalah capaian internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam DUN Ayer Kuning.
Susulan teguran Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, SKMM telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi memastikan liputan internet berada pada tahap memuaskan.
''Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, tak ada sangkut-sangkut," kata Wan Zahari Wan Salleh yang membuat liputan di hari penamaan calon di PRK Air Kuning.
Capaian internet di kawasan itu didapati lemah sebelum dan pada awal hari penamaan calon iaitu pada 12 April lalu.
Selepas isu itu berjaya diatasi, seorang petugas pilihanraya Pakatan Harapan (PH) dari Kuala Lumpur, Shahril Muhamad menyatakan bahawa liputan internet sudah pulih dan hanya 'sangkut-sangkut' di kawasan luar.
Beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning; Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
Buat masa ini, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada SKMM.
Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.
Comments