Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan bekas pemimpin pemuda Pas menyertai parti Bersatu bagi bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukanlah kerana Bersatu tidak mempunyai calon berkelayakan tetapi lebih dilihat seolah olah Pas memaksakan pengaruhnya ke dalam parti sekutu.
Ketua Cabang KEADILAN Tumpat, Zamakh Sari Ibrahim berkata, alasan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya Bersatu sebagai kurang ‘anak lelaki’ sehingga memerlukan Mohd Rizwadi Ismail menyertai parti itu untuk menjadi calon menyerlahkan sikap sebenar Pas yang suka menekan rakan politik.
"Inilah sikap Pas dari dulu, dia akan fikir untung rugi (partinya) sahaja. Pas nampak kerusi ini ada kelebihan untuk mereka menang, jadi inilah masanya untuk Pas kutip hasil.
"Jelas (kepada pengundi), kerusi itu menjadi kerusi Pas dengan lambang bulan (guna logo Pas) tertera pada kertas undi. Pengisytiharaan ‘keluar parti’ hanyalah lakonan di pentas sahaja, rakyat sudah faham ‘kluk-klek’ (gelagat) mereka itu," katanya.
Tegas Zamakh, episod seperti itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan parti itu pernah melakukan tindakan serupa ketika bersama dengan Semangat 46 (S46) sewaktu memerintah Kerajaan Negeri pada 1990 - 1996 lalu.
"Sejarah buli bukan perkara baru buat Pas, sejak zaman bersama Semangat 46 lagi telah berlaku janji nak lantik wakil S46 sebagai Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan tetapi tidak dibuat seawal kerajaan ditubuhkan.
"Setelah diasak oleh Ku Li barulah lantik Rozali Ishak sekadar dilantik TMB 2 yang tidak punya kuasa besar.
"Sejarah ini berulang lagi dalam PN (Perikatan Nasional), hanya satu kerusi Exco sahaja diberikan kepada Bersatu setelah Bersatu 'berbelanja sakan' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri lalu," ujarnya.
Kelmarin, Takiyuddin dalam ceramah kelompok berkata, pucuk pimpinan Pas merestui Mohd Rizwadi keluar parti dan menyertai Bersatu bertanding menggunakan logo Pas.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan tidak timbul sebarang isu berkenaan calon bertukar parti memandangkan hubungan Bersatu dan Pas seperti adik dan kakak.
Mengambil contoh ladang pertanian, Takiyuddin mengandaikan Bersatu sebagai adik yang kekurangan anak lelaki sehingga menyebabkan dia meminta bantuan Pas untuk menguruskan ladang mereka.
Comments