
Perdana Menteri (PM) dalam tradisi politik Malaysia biasanya dilantik daripada pengerusi atau presiden parti yang menang pilihanraya.
Sekiranya mencuba formula berlainan maka hayat kuasa PM tidaklah panjang kerana tidak mendapat dukungan padu daripada partinya sendiri.
Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, kenyataan Ahli Parlimen (MP) Bachok dari Pas, Syahir Sulaiman kelmarin yang tidak menamakan presiden partinya sendiri sebagai calon PM, lalu mahu golongan teknokrat dicalonkan ke jawatan itu mungkin menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku parti berkenaan.
"PM adalah orang politik dan sesebuah kerajaan dibentuk atas kuasa politik. Oleh itu, tokoh politik utama atau ketua parti sangat penting untuk dicalonkan sebagai PM bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan.
"Perlantikan PM9 (Datuk Seri Ismail Sabri) yang bukan ketua parti telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan seterusnya kerajaaan tidak berfungsi dengan baik.
"Adapun PM8 (Muhyiddin Yassin) ketika menjadi PM, politik juga tidak stabil kerana mendapat kuasa secara haram mengikut amalan demokrasi tulen, dan kaedah ‘scheme of things’ gagal dan dia hilang kuasa kerana ketidakstabilan politik. Akibatnya, kerajaan gagal menguruskan ekonomi dengan baik
"Anwar Ibrahim pula menjadi PM10 setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mengikut kaedah demokrasi tulen. Sebab itu politik Malaysia stabil hari ini. Apabila kita berpolitik mengikut undang-undang, maka kestabilan itu akan wujud dan kerajaan berfungsi dengan baik," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Faiz, untuk menjadi PM maka sokongan majoriti Ahli Parlimen perlu melepasi majoriti mudah mengikut Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Maka, katanya, apabila Syahir tidak menamakan Presiden Pas sebagai calon PM, adakah bermaksud bahawa Presiden Pas tidak akan mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen dari koalisi PN.
"Ini (mungin) adalah isyarat keretakan sedang berlaku di dalam PN?
"Ini menunjukkan PN bukan sebuah koalisi yang kukuh dan stabil, dan oleh itu amat merbahaya untuk membentuk kerajaan kerana diancam ketidakstabilan.
"Ketidakstabilan politik akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan. Tidak logik untuk Pas memilih ketua parti Bersatu untuk menjadi PM, sedangkan ketua parti Pas seorang Ahli Parlimen dan tokoh ulama terkenal. Adakah Pas tidak lagi mengangkat agenda kepimpinan ulama?" tanyanya.
Bagi Faiz, PM bukanlah suatu jawatan yang boleh diletakkan calon percubaan dan diganti dengan orang lain sekiranya kurang berwibawa.
Keyakinan antarabanagsa dan pelabur asing akan merudum sebagaimana pada tempoh 2020 - 2022 lalu.
Oleh itu PM yang ada sekarang, katanya, adalah yang terbaik dan pernah juga dicalonkan oleh Presiden Pas terdahulu, Datuk Fadzil Noor pada era reformasi.
"Berbalik kepada calon PM berdasarkan merit peribadi, ketokohan dan kebijaksanaan Anwar Ibrahim telah terbukti dengan kemantapan ekonomi negara dan pengiktirafan kuasa luar kepada Malaysia hari ini.
"Justeru, tidak ragu Almarhum Fadzil Noor (mantan Presiden Pas) berani mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai PM," katanya lagi.
Kommentare