Calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Sungai Udang, Hasmorni Thamby berjanji untuk menyelesaikan isu keselamatan pengguna jalan raya di pekan Sungai Udang yang kekurangan lampu isyarat dan boleh menyebabkan kemalangan.
Katanya, beliau akan memastikan pemasangan lampu isyarat sekiranya diberi peluang mewakili pengundi pada 20 November ini.
"Saya melihat simpang tiga ini tanpa ada lampu isyarat amat membahayakan penduduk. Berdasarkan suara penduduk setempat mereka telah lama menantikan pemasangan lampu isyarat. Jika saya menang saya pastikan pemasangan lampu isyarat demi keselamatan penduduk Sg Udang," katanya.
Selain itu, Hasmorni juga berjanji akan memperjuangkan isu Klinik Kesihatan Melaka Tengah yang tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk Sungai Udang yang semakin bertambah.
"Berdasarkan maklum balas penduduk Klinik Kesihatan Sungai Udang tidak cukup menampung kapasiti penduduk kerana dengan adanya kem tentera, penjara, Petronas dan lain lain. Amat perlu klinik kesihatan ini diperbesarkan.
"Saya akan bawa isu ini di dalam sidang DUN apabila saya diberi mandat," katanya
Comments