Calon Perpaduan Dr Yusri berwibawa, anak tempatan - Dr Mujahid
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang berjalan lancar pada pagi tadi diharap membawa tuah kepada calon Kerajaan Perpaduan dari BN, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, calon BN bukanlah asing bagi DUN berkenaan kerana beliau merupakan anak tempatan.
Hal itu dinyatakan oleh Dr Mujahid usai proses penamaan calon pagi tadi.
"Pagi tadi saya turut hadir dalam proses penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung di Tapah, Perak.
"Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan turut hadir memberi sokongan padu.
"Mereka mengiringi calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir dalam perarakan menuju ke Dewan Merdeka bagi mengemukakan borang pencalonan.
"Suasana penuh semangat dan perpaduan jelas terpancar apabila ribuan penyokong dari pelbagai latar belakang hadir menunjukkan sokongan. Inilah manifestasi sebenar Kerajaan Perpaduan — satu tekad bersama untuk membela nasib rakyat, memperkukuh kestabilan dan membina masa depan Malaysia yang lebih makmur," katanya dalam muat naik di Facebook.
Dr Mujahid juga menganggap calon BN mudah mengendalikan sokongan di Ayer Kuning kerana beliau dikenali penduduk di kawasan itu.
"Dr Mohamad Yusri seorang calon yang berwibawa, anak tempatan yang mempunyai rekod khidmat kepada masyarakat.
"Dengan sokongan daripada seluruh jentera Kerajaan Perpaduan, insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada kita," katanya.
Justeru itu, beliau berharap jentera AMANAH akan berusaha bersungguh sungguh untuk berkempen dan memenangkan calon berkenaan.
"Mari kita gerakkan kekuatan ini dengan penuh disiplin, semangat ukhwah dan nilai MADANI demi memastikan Ayer Kuning kekal sebagai simbol kekuatan rakyat dan suara perpaduan," katanya.
Dr Yusri dalam PRK ini akan berhadapan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS dalam pertandingan tiga penjuru.
Comments