Calon Naib Presiden: Sim berazam menangkan 60 kerusi parlimen KEADILAN
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin nama yang tidak asing dalam perjalanan perjuangan KEADILAN.
Ahli politik asal Pulau Pinang itu setelah melalui perjuangan panjang dalam KEADILAN, bermula pada era mahasiswa kini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden KEADILAN.
Tze Tzin bersama rakan seperjuangan seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Amirudin Shari, dan ramai lagi pernah digelar sebagai Generasi Reformasi, gerakan yang tercetus dari arus reformasi 1998.
"Parti KEADILAN adalah wadah politik kami, manakala Reformasi menjadi idealisme yang kami junjung.
"Setelah 26 tahun jatuh bangun bersama Parti KEADILAN, kini saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan 2025. Saya telah berbincang dengan beberapa pimpinan kanan parti, dan mereka menyokong hasrat saya ini," katanya dalam kenyataan.
Dalam Pemilihan 2025 ini, Tze Tzin menawarkan aspirasi utama sekiranya beliau diberikan mandat sebagai naib presiden.
"Pertama, saya akan berusaha sepenuh hati untuk memenangkan sekurang-kurangnya 60 kerusi kritikal demi memperkukuh kedudukan Parti KEADILAN. Parti ini, yang membawa gagasan politik progresif dan berbilang kaum, harus menjadi parti tunjang politik negara.
"Kedua, saya bertekad untuk membantu misi Perdana Menteri dalam membasmi kemiskinan, serta melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
"Ketiga, saya memahami aspirasi akar umbi parti yang dahagakan perpaduan, perhatian, dan pembelaan. Oleh itu, saya akan mengusulkan penubuhan sebuah Biro Keahlian sepenuh masa yang khusus menangani isu-isu berkaitan keahlian, pengurusan kad ahli, dan kebajikan ahli. Pada masa yang sama, saya akan berusaha merapatkan saf demi memperkukuh perpaduan parti," katanya.

Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu juga mempunyai rekod cemerlang dalam mengekalkan kerusi Parlimen Bayan baru untuk kali keempat berturut turut.
Selain itu, sewaktu beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dalam Kerajaan Pakatan Harapan (2018 - 2020), Tze Tzin berjaya memperluaskan perlindungan PERKESO kepada lebih 200,000 nelayan miskin, membolehkan mereka turun ke laut dengan lebih yakin dan terlindung.
"Sebagai Pengarah Strategi Pusat paling lama berkhidmat (2013–2022), saya memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah menukar kerajaan persekutuan pada tahun 2018.
"Saya juga pernah didakwa di mahkamah dalam kes “Kita Lawan” pada tahun 2015. Jika disabitkan, saya berisiko kehilangan segala-galanya — namun saya memilih untuk membujur lalu, melintang patah.
"Ketika krisis politik Sheraton Move, saya kekal setia bersama parti, menolak sebarang bentuk pengkhianatan," katanya lagi.
Tze Tzin antara anak muda terawal bergerak dalam arus reformasi 1998 ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia.
Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008, dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak. Pada tahun 2013, melangkah ke Parlimen sebagai Ahli Parlimen, dan kekal berkhidmat hingga hari ini.
댓글