Oleh: Abdullah Zaid
Bagi mengekalkan kemenangan di DUN Sungai Bakap, calon tunggal wanita KEADILAN Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose mahu isu keciciran pelajaran murid di sekolah tidak berlaku lagi di kerusi berkenaan.
Menurutnya, pendidikan perkara asas yang tidak sepatutnya berlaku isu keciciran dalam kalangan pelajar ketika ini.
"Saya lihat isu keciciran murid di DUN Sungai Bakap perlu dipandang serius agar ia tidak berlaku lagi kerana pendidikan adalah penting untuk setiap insan.
"Jika isu ini dapat diselesaikan sudah tentu anak-anak di DUN Sungai Bakap mendapat peluang pendidikan yang sempurna dan mampu menjadi pelajar yang cemerlang," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Selain itu, ibu kepada dua orang anak itu turut menyentuh pemerkasaan golongan belia melalui pembabitan TVET yang menjanjikan masa depan cerah kepada generasi muda itu.
"Di DUN Sungai Bakap kita lihat anak muda perlu mendapatkan pekerjaan di luar, dan sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
"Oleh itu, agenda TVET dapat memberi peluang buat memperoleh kemahiran, elaun dan sijil," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pegawai Khas Hal Ehwal Komuniti dan Wanita kepada Menteri Pendidikan turut menekankan hak-hak wanita dalam pembabitan kepimpinan.
Katanya, sebagai calon wanita beliau akan mewajibkan penglibatan wanita untuk menjadi pemimpin komuniti atau tempatan.
"Pada saya suara wanita perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk menonjol diri dalam penglibatan kemasyarakatan.
"Oleh itu, saya akan mengenengahkan pembabitan wanita dalam organisasi komuniti dan tempatan," jelasnya lagi.
Comentários