
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan disaran memperluaskan inisiatif kerjasama model Perkongsian Awam-GLC (PPP) dalam sektor kesihatan dengan menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan menubuhkan hospital khusus untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, pelaksanaan model itu boleh diinspirasikan daripada Hospital Universiti Malaya (HUM) yang menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan caj lebih rendah berbanding hospital swasta biasa.
Dengan adanya hospital bertaraf pertengahan, Wei Kiat berkata, golongan M40 yang tidak mampu menanggung kos hospital swasta, pada masa sama tidak mahu menunggu lama di hospital kerajaan, akan mempunyai alternatif dalam mendapatkan rawatan.
Malah ujarnya, pendekatan sebegitu bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap hospital kerajaan, tetapi mewujudkan persaingan sihat dalam sektor kesihatan.
''Dengan kewujudan hospital mampu bayar yang menawarkan caj sederhana, hospital swasta yang mengenakan caj lebih tinggi terpaksa bersaing untuk menarik pesakit.
''Persaingan ini akan memaksa hospital menawarkan harga yang lebih kompetitif, sekali gus menurunkan kadar caj hospital secara keseluruhan.
''Mekanisme pasaran ini akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu mendapatkan rawatan tanpa terbeban dengan kos yang terlalu tinggi,'' katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, dengan lebih banyak hospital alternatif tersedia, sistem kesihatan negara juga akan menjadi lebih mampan.
Kata Wei Kiat, ini kerana pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan atau terpaksa membayar caj tinggi di hospital swasta.
''Pembangunan hospital berorientasi mampu bayar ini akan membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan dalam perbelanjaan kesihatan awam secara jangka panjang.
''Hospital ini boleh beroperasi dengan model pembiayaan bersama, di mana kerajaan memberikan subsidi tertentu bagi perkhidmatan asas, sementara pesakit membayar kadar yang lebih rendah berbanding hospital swasta biasa.
''Isu kos rawatan hospital tidak boleh dilihat secara simplistik dengan sekadar menuntut pengurangan harga.
''Sebaliknya, penyelesaian perlu bersifat jangka panjang dan berasaskan model yang mampan,'' ujar Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu.
Yorumlar