Cadangan wujudkan Menteri Agama Bukan Islam ditolak Kabinet
- Suara Keadilan
- Feb 14
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil hari ini tampil menjelaskan mengenai cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Fahmi berkata, cadangan itu merupakan pendirian peribadi Yu Hui dan bukannya pendirian parti diwakilinya, apatah lagi Kerajaan Perpaduan.
''Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari ini dan hal tersebut tidak pernah berbangkit.
''Malah tidak dibincangkan (oleh) parti beliau sendiri. Ketua parti sendiri mengatakan itu bukan pendirian parti. Tetapi (hanya) pendirian peribadi beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen dan bukan pendirian parti, serta Kabinet juga tidak pernah membincangkan,'' katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, tidak ada keperluan untuk Kabinet membincangkan secara lanjut mengenai cadangan tersebut.
Jelasnya, isu agama masih boleh ditangani melalui Kementerian Perpaduan yang mempunyai jawatankuasa keharmonian antara agama di bawahnya.
''Pada waktu ini, Menteri Perpaduan mempunyai mekanisme jawatankuasa harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama untuk bincangkan berkaitan perpaduan,'' katanya lagi.
Terdahulu, Yu Hui ketika membahaskan usul di Dewan Rakyat, menyarankan kementerian yang menjaga agama di bawah Jabatan Perdana Menteri dipecahkan kepada portfolio untuk urusan Agama Islam dan satu lagi Hal Ehwal Bukan Islam.
Katanya, beberapa Kerajaan Negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco Hal Ehwal Bukan Islam dan menyarankan Kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat.
Comments