![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_ef19f2b24a594bb19091c35411068a38~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_ef19f2b24a594bb19091c35411068a38~mv2.jpg)
Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa agar Mesyuarat Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang pertama disegerakan.
Pengerusi Kaukus Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya juga menggesa lebih banyak penyertaan negara-negara ASEAN dan Asia Timur dalam membantu Palestin selain menuntut kawalan ketat terhadap penyaluran bantuan agar sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
"ASEAN mempunyai (Sidang Kemuncak) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, ini adalah kesempatan baik negara-negara ASEAN dan juga Asia Timur untuk melaksanakan pembangunan Palestin semula," kata Ahli Parlimen Ledang itu pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis.
Sementara itu beliau menegaskan, kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza sebagai radikal dan tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu pihaknya mengecam keras cadangan yang turut disokong Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu.
Sambil menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak kenyataan berunsur provokasi itu.
"Kenyataan oleh Presiden Amerika agak radikal dan tidak bertanggungjawab, beliau membuat duluan atau precedent berbahaya dalam tatanegara dunia yang mencabuli prinsip kedaulatan, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
"Dunia tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi retorik berbahaya ini. Kami menyeru kepada penghentian segera segala bentuk keganasan, penindasan dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin serta menggesa masyarakat antarabangsa untuk berganding bahu dalam mencari keamanan yang adil dan berkekalan," katanya dipetik.
Melalui sidang media tersebut, Syed Ibrahim menyeru agar Ahli Parlimen Malaysia dan Asia Tenggara bekerjasama lebih erat untuk menggerakkan tekanan terhadap kerajaan masing-masing dalam memperkukuh sokongan kepada Palestin, serta memacu bantuan kemanusiaan dan pembangunan wilayah itu melalui inisiatif lain.
Comments