Cadangan Menteri Kesihatan agar Rang Undang-Undang (RUU) berkonsepkan 'Good Samaritan Law' bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan mendapat sokongan pelbagai pihak.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau menyokong sepenuhnya inisiatif tersebut.
"Undang-undang ini bertujuan memberikan perlindungan undang-undang kepada individu yang bertindak dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam situasi kecemasan.
"Individu ini yang sering dirujuk sebagai "Good Samaritan," wajar diberi pengiktirafan dan sokongan atas kesediaan mereka untuk memberikan bantuan tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang," katanya menerusi kenyataan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Sabtu berkata, akta itu juga bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka yang bertindak menghulurkan bantuan atas dasar kepercayaan baik dalam usaha menyelamatkan nyawa orang awam.
Menurutnya, cadangan itu akan dibawakan dalam mesyuarat pasca Kabinet minggu ini untuk dibincangkan.
Sementara itu Lam Thye menyarankan pihak kerajaan membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk profesional kesihatan, pakar undang-undang dan organisasi komuniti bagi merangka undang-undang tersebut.
Selain itu beliau turut menggesa kempen pendidikan awam dilaksana bersama penggubalan undang-undang ini untuk memastikan rakyat Malaysia memahami hak dan tanggungjawab mereka di bawah undang-undang berkenaan.
Selain Lam Thye, cadangan itu turut disokong Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Naib Presidennya, Datuk Indrani Thuraisingham berkata usaha intervensi itu adalah tepat dan kena pada masanya.
Beliau turut mencadangkan supaya definisi akta itu diperluaskan dengan memasukkan bantuan makanan sebagai satu bentuk belas kasihan yang diiktiraf di bawah undang-undang, seiring dengan bantuan kecemasan tradisional.
"Undang-undang ini juga perlu menangani kebimbangan berkaitan kualiti dan tarikh luput makanan untuk memastikan makanan yang diderma masih selamat untuk dimakan, selain penetapan garis panduan yang jelas dari aspek keselamatan," jelasnya.
Comments