Cabaran usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat meskipun dikomentar oleh banyak pihak sebagai tidak perlu dalam keadaan politik stabil dan pemuihan ekonomi sedang berjalan namun Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pehitungan lain, tetap mencabar pembangkang melakukannya.
Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Danish Hairudin, PM membuka cabaran tersebut kerana pembangkang sejak kebelakangan ini sering mempersoalkan mengenai isu keabsahan kerajaan dan mendesak beliau meletak jawatan.
Maka kata Danish, usul undi tidak percaya merupakan kaedah paling sesuai berdasarkan Perlembagaan dan boleh dilaksanakan pada bila bila masa.
"Ketika pembangkang menggesa untuk mencabar kedudukan beliau (PM), ini bukan hanya tentang mempertahankan jawatan, tetapi juga tentang memastikan kestabilan dalam kerajaan.
"Tanggungjawab pemimpin adalah untuk menjaga kepercayaan rakyat dan memastikan agenda pentadbiran dapat dilaksanakan tanpa gangguan.
"Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian kepada isu rakyat yang mendesak, seperti pemulihan ekonomi dan kebajikan sosial, dia juga perlu mempertimbangkan ancaman politik yang boleh menggugat stabiliti.
"Dalam konteks ini, menegaskan cabaran kepada pembangkang adalah langkah strategik yang mungkin diperlukan untuk memfokuskan perhatian kepada tanggungjawab yang lebih besar.
"Langkah ini bagi memandulkan terus permainan persepsi pembangkang untuk menukar kerajaan secara tebuk atap dan pintu belakang," katanya dalam kenyataan.
Menurut Danish lagi, sekiranya undi tidak percaya dilakukan pembangkang pada sesi parlimen Oktober ini maka persoalan keabsahan kerajaan yang ditimbulkan pembangkang berkenaan jumlah Akuan Berkanun dan sebagainya akan ditangani secara tuntas.
Langkah seterusnya akan membenarkan PM meneruskan proses reformasi institusi dalam negara tanpa diganggu gugat oleh isu keabsahan.
Kerajaan selepas ini, katanya, boleh mengambil langkah proaktif dan memastikan ia dapat berfungsi dengan efektif demi kesejahteraan rakyat.
Comments