Cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, hari ini disambut oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang mencabar kembali usul undi percaya di Dewan Rakyat perlu dibuat berasaskan individu Ahli Parlimen, bukannya sokongan secara blok politik.
Menjawab cabaran itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, Pas dan PN tidak perlu berdolak dalik mengenai usul undi tidak percaya tersebut.
Tanggungjawab mereka, katanya, adalah mengusulkan. Cara mana undi tersebit dilakukan telah pun sedia dimaklumi berdasarkan Akta Anti Lompat Parti.
Manakala persoalan sokongan, Kerajaan Perpaduan kata Adam, ditubuhkan melalui sokongan ikhlas Ahli Parlimen yang mahukan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.
"Dalam soal membuktikan keberanian politik, seperti yang dibangkitkan oleh Fadhli, berapa kali harus Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sikap dan keterbukaan beliau?
"Di pihak Kerajaan, sudah pun kita memberi respons kepada usul Dewan Pemuda sebelum ini; jika ada hasrat untuk mendesak PMX melepaskan jawatan, sila bawa ke Dewan Rakyat, bukan hanya di Dewan Pemuda atau Sidang Muktamar.
"Tiada siapa yang berselindung di sebalik sebarang keterikatan yang menjerat seperti yang cuba digambarkan Fadhli. Persefahaman sejak awal yang membawa kepada penubuhan kerajaan hari ini jelas adalah berasaskan rundingan terbuka yang diikuti rapat oleh semua pemerhati sejak hari pertama.
"Diabsahkan juga menerusi undi percaya di Dewan Rakyat. Jika masih tidak yakin dan perlu ulang tayang, sila usulkan semula (undi percaya) di Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang," katanya dalam kenyataan petang ini.
Adam turut mengecam Fadhli kerana Kerajaan Madani yang didakwa tidak adil dan perlu ditukar sebenarnya telah melakukan banyak di kawasan beliau iaitu parlimen Pasir Mas.
Katanya, penyaluran segala bentuk bantuan dan pembangunan infrastruktur yang berterusan menerusi agensi-agensi Pusat dan Negeri harus beliau lihat sebagai tanda Kerajaan Madani tidak mengulangi resmi lama, di mana kawasan pembangkang ditekan dan dibantutkan dari segi pembangunan ekonomi dan sosial sehingga menjerut rakyat.
Ujarnya, dari semasa ke semasa Kerajaan Madani terus menghulur tangan tanda kesediaan untuk menjalinkan kerjasama, sayangnya sering ditepis dengan kasar oleh pembangkang termasuk yang terbaharu, menolak memorandum persefahaman (MoU) peruntukan parlimen.
"Perjanjian Persefahaman yang ditawarkan pun terus ditolak mentah-mentah oleh pimpinan utama pembangkang tanpa timbang tara lanjut.
"Apakah ini sudah ditanyakan kepada wakil-wakil rakyat lain yang mungkin mempunyai pandangan berbeza?" katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut tertanya tanya apakah taktik pembangkang pada waktu ini apabila berkeras menolak semua perkara baik yang ditawarkan, kemudian terus menerus menyalahkan kerajaan.
"Gegak-gempita tanpa tindakan wajar tidak membawa sebarang hasil. Hanya riuh dan hingar untuk menimbulkan suasana bingit dalam medan politik tempatan.
"Atau mudahnya kita simpulkan sahaja bahawa serangan-serangan yang dituju sekarang tidak lain hanya atas dasar mahu terus berpolitik tanpa sudah, kekecewaan ke atas diri sendiri, sindrom penafian, dan keinginan untuk kembali berkuasa semata-mata.
"Jika itu dasarnya; tidaklah mampu untuk kita halang mereka dari terus menyerang dan mencerca tanpa asbab sebegini.
Kerajaan Madani hanya akan terus bekerja sehingga mandat dipulangkan semula kepada rakyat kelak (pada pilihan raya umum ke 16)," katanya lagi.
Comments