
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka membentangkan butiran semakan semula peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan menyemak semula akta tersebut bagi mencapai keseimbangan antara kewajipan mempertahankan keselamatan negara, ketenteraan awam dengan menghormati hak asasi seseorang individu.
Tambahnya, penelitian dan semakan semula akta tersebut turut mengambil kira keperluan mengekalkan peruntukan tertentu bagi menangani jenayah terancang dan ancaman keselamatan ekstrem, pada masa sama menilai aspek keadilan dalam pelaksanaannya.
"Ia mencakupi banyak perkara tapi saya akan memberikan penekanan terlebih dahulu, pertama mengenai seksyen yang dianggap sebagai barangkali sudah sampai masanya untuk kerajaan teliti balik secara khusus misalnya Seksyen 13 yang berkaitan dengan jaminan.
"Jadi Jemaah Menteri memperhalusi aspek mana SOSMA ini digunakan dalam kes yang bagaimana, jenayah terancang misalnya atau gengterisme tahap ekstrim tidak terjangkau dek akal kita tetapi berlaku," katanya dipetik selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Georgetown pada Sabtu.
Pada Jumaat, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Kabinet bersetuju Akta SOSMA diteliti dan disemak.
Sementara itu menurut Saifuddin, SOSMA dilihat sebagai undang-undang yang sesuai digunakan bagi menangani jenayah di luar daripada kebiasaan seperti jenayah sadis, atau aktiviti berkaitan keganasan yang mengancam keselamatan serta ketenteraan awam dan keselamatan negara.
Sepanjang dua tahun di kementerian itu, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus secara berterusan berkait akta tersebut.
"Kami adakan bengkel, perbincangan, kami panggil pakar-pakar, kami panggil individu berkepentingan, bahagian keselamatan serta memanggil pihak bertanggungjawab membabitkan pemegang taruh dan siri perbincangan ini mereka buat dengan menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.
"Jadi pada akhir (selepas) mendengar maklum balas itu, ada kewajarannya untuk KDN memberikan input itu melalui Pernyataan Menteri. Tapi hal tujunya adalah kesediaan Jemaah Menteri, Kerajaan untuk tengok balik akta ini, terutama seksyen yang memerlukan kita teliti semula," katanya.
Comments