Kematian seorang pelajar mangsa buli dari Kolej Vokasional di Sabah pada Jumaat 22 Mac lalu amat mengejutkan rakyat Malaysia.
Bagi Persatuan Komuniti Pendidik Madani (Pendidik Madani), jenayah buli tidak wajar dibiarkan terus berlaku di sekolah.
Menurut kenyataan Pengerusi NGO tersebut, Abas Awang, Kerajaan Madani seharusnya menghentikan budaya buruk berkenaan agar tidak lahir generasi pembuli pada masa hadapan.
"Pendidik Madani merakamkan rasa bimbang amalan buruk ini akan berterusan dan bertambah lagi di masa hadapan.
"Justeru, Pendidik Madani mengalu-alukan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan Kementerian.
"Amalan membuli ini amat buruk dan hina. Para pembuli sendiri adalah mereka yang alami masalah emosi, lemah daya empati, angkuh, merasakan dirinya kuat dan berkuasa, tanpa rasa bersalah berani bertindak menyakiti, menindas atau merendahkan orang lain secara fizikal, emosi, atau psikologi orang lain yang dianggap lemah.
"Jika dibiarkan berterusan, akan lahir generasi pembuli, penindas dan masyarakat yang boleh menimbulkan ancaman kepada kerukunan dan keharmonian masyarakat serta negara pada masa hadapan," kata Abas yang merupakan mantan calon KEADILAN bagi Parlimen Bera pada PRU 15 lalu.
Menurut Abas, Pendidik Madani menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk membanteras amalan buli secara berterusan sepanjang tempoh beliau memimpin.
Dalam pada itu Pendidik Madani, kata Abas, menyarankan agar KPM memberikan fokus kepada beberapa langkah utama seperti mengukuhkan keberkesanan program-program sedia ada, seperti pembinaan karakter dan sahsiah unggul, penghayatan nilai-nilai MADANI – ihsan, hormat, keyakinan, kesejahteraan dan kemampanan, pendidikan kesedaran anti buli, kemahiran sosial, empati pada masa hadapan.
"Sistem pelaporan yang efektif, penglibatan ibu bapa, khidmat bimbingan dan kaunseling dan hubungan sekolah dengan agensi-agensi luar yang berkaitan juga perlu sentiasa dipertingkatkan.
"Pendidik Madani sedia memberikan komitmen dan kepakaran ahli-ahli kami, untuk membantu KPM. Semoga dengan dukungan semua pihak, dengan pendekatan menyeluruh, kejadian buli di sekolah boleh diredakan dan dinoktahkan," katanya lagi.
Beliau yang juga mantan pegawai tinggi Kementerian Pendidikan berkata, tugas melahirkan generasi cemerlang sebagai pewaris kepimpinan negara merupakan tanggungjawab bersama sama ada para guru yang masih berkhidmat, pesara, ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.
Kommentit