Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Bukan sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan mana-mana banduan menghabiskan baki tempoh hukuman di rumah boleh mengemukakannya kepada Lembaga Pengampunan.
Menurut Jabatan Peguam Negara, semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang.
Hal itu dinyatakan dalam satu kenyataan media memaklumkan, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki tempoh hukuman di rumah, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan.
Katanya, ia akan mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
"Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan media Jabatan Peguam Negara itu dikira jawapan kepada tuntutan Najib yang kes rayuannya untuk semakan kehakiman titah adendum didengar di mahkamah pada 6 Januari depan.
Kommentare