Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan budaya samseng dan buli yang berlaku khususnya dalam sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya buli terjadi disebabkan terdapat pihak bersikap permisif dengan membenarkan ia terus berlaku.
Bercakap dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), beliau menegaskan, budaya gengsterisme tidak sesekali diizinkan berlaku dalam pendidikan.
"Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa.. tetapi budaya itu tidak mengizinkan...budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan juga sekolah agama.
"Ini adalah kegilaan kerana kita bicara soal ilmu dan ritual, serta akhlak dan nilai. Kita ada disiplin ketenteraan tetapi tidak tahu disiplin.
"Darjat kemanusiaan dan ilmu itu adalah penting kepada penghayatan.
"Saya maklumkan kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur. Saya bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali kerana tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya," katanya dalam program itu yang berlangsung pada hari ini.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN menyifatkan perkara berkenaan adalah cabaran kepada setiap pimpinan Naib Canselor, profesor dan pensyarah termasuk dirinya dan menteri.
Justeru beliau menegaskan dalam program pendidikan dan latihan, aspek nilai dan akhlak perlu ditekankan bagi mengelakkan berlaku budaya-budaya yang bertentangan dengan undang-undang.
"Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan. Ini kerana (ketika ini) kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli. Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya," ujarnya lagi.
Comments