Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyeru Bank Negara Malaysia (BNM) agar menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans kepada pengguna.
Katanya, BNM berkuasa untuk mengawal selia segala keputusan yang dibuat syarikat-syarikat insurans.
"BNM tidak harus melepaskan tangan atau tanggungjawab dengan alasan ini adalah 'business decision' oleh syarikat atau 'free market' dengan 'willing buyer, willing seller', pada pendapat saya itu tidak betul," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Tze Tzin menyifatkan, seruan kepada BNM itu dilakukan kerana ekosistem kesihatan swasta berkait rapat dengan sistem kesihatan awam yang dibiayai oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Persekutuan.
"Caj hospital swasta yang melambung naik menyebabkan kenaikan premium insurans kesihatan kerana ianya berkait rapat.
"Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melaksanakan siasatan mengaut keuntungan berlebihan ke atas kenaikan, contohnya 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus (ringgit) kenaikan premium?" soal beliau.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata akan membawa pendekatan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai bagi menangani isu caj hospital swasta yang dilaporkan semakin meningkat.
Beliau berkata, di bawah pendekatan itu pesakit membayar berdasarkan kualiti perkhidmatan berbanding pendekatan fee-for-service yang mengenakan caj terhadap perkhidmatan yang diberikan.
"Kalau fee-for-service bermakna jika seseorang itu mempunyai insurans, datang dengan apa pun penyakitnya selama ia (hospital) boleh mengenakan pelbagai ujian, prosedur dan sebagainya, maka itulah jumlah (bayaran) yang akan dikenakan.
"Perkhidmatan kesihatan berdasarkan nilai... contohnya dia pesakit hernia kalau hospital itu cekap, efisien, maka ia (hospital) akan mengenakan bayaran hanya kepada satu prosedur yang namanya herniorrhaphy," katanya.
Comments