
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri susulan pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pemberian tersebut telah membuktikan kerajaan MADANI dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan.
"Walaupun penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan tahun lepas dan pemberian BKK Persekolahan pada Februari lepas namun tradisi pemberian bantuan itu setiap kali menjelang Aidilfitri kekal sebagai satu inisiatif yang amat dihargai serta dinantikan.
"CUEPACS percaya bahawa insentif ini bukan saja akan meringankan beban kos persiapan Aidilfitri, malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang dan berintegriti.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, malah amat terharu dengan keprihatinan dan kepekaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, perdana menteri mengumumkan BKK Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar mulai minggu depan.
Manakala sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam turut memaklumkan, lebih 70,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut juga bakal menerima BKKA sebanyak RM250 setiap seorang sebagai menghargai sumbangan besar mereka.
Adnan sementara itu menyeru agar penjawat awam bijak menguruskan bantuan kewangan yang diterima dan menggunakan ia dengan sebaiknya.
"Cuepacs menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan dan pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat menjelang sambutan Aidilfitri," ujarnya.
Comments