Oleh: Abdullah Zaid
Biro Pendidikan KEADILAN Pahang menganjurkan program Bicara Ilmu Minda Madani sebagai medium penghayatan melibatkan ahli akademik, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, program yang digerakkan oleh Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN Pahang, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan juga melibatkan KEADILAN Cabang Kuantan dan Indera Mahkota.
"Dalam siri Bicara Minda Madani Dr Hassan Basri telah mengupas definisi Madani dan penghayatannya di dalam membina semula negara.
"Selain itu, beliau juga merujuk kepada kitab ulung Ibnu Khaldun iaitu al-Muqaddimah, sebuah karya agung ilmuwan Islam di dalam bidang sosiologi," kata kenyataan Biro Pendidikan KEADILAN Pahang.
Tambah kenyataan itu lagi, Dr Hassan Basri merupakan seorang tokoh ilmuan negara dan berpengalaman luas dalam pendidikan tinggi negara lebih 40 tahun.
Beliau merupakan lulusan sarjana muda Bahasa Arab daripada Universiti Kuwait sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di St Andrews University, Scotland, United Kingdom selain menerima anugerah tertinggi Doktor Falsafah di dalam bidang pendidikan dari University of Edinburgh, United Kingdom.
Prof Hassan juga telah berkhidmat dengan Universiti Malaya sebagai pensyarah sebelum terlibat menerajui kepimpinan universiti seperti di UPSI, USIM, UNISZA dan UMK.
Inisiatif penerangan Malaysia Madani dan penghayatannya akan diadakan secara bersiri di Pahang mulai Julai 2024 menerusi siri Bicara Ilmu Minda Madani.
Comments