Laporan media yang mendakwa kerajaan sedang berunding dengan beberapa taikun untuk membina kasino di Forest City, Johor Bahru berunsur sabotaj dan berniat jahat.
Menteri Besar (MB) Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Johor tidak akan membenarkan mana-mana kasino beroperasi di negeri itu termasuk di Forest City.
"Sejarah jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.
"Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa Baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor.
"Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, agensi berita berpangkalan di Amerika Syarikat, Bloomberg memetik sumber yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting Tan Sri Lim Kok Tay pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Forest City.
Berjaya Corp Bhd (BCorp) pada Jumaat turut menafikan pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan terlibat berhubung perkara itu.
"Kami ingin menjelaskan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan sedemikian dan menyangkal dakwaan tidak tepat dalam artikel itu," katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Anwar telah menafikan laporan tersebut dengan menyifatkannya sebagai pembohongan.
Beliau turut menyarankan pihak-pihak yang dikaitkan dalam laporan itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita berkenaan
댓글