top of page

Bilakah Politik Negara Mahu Merdeka?



Oleh: Omar Mokhtar A Manap


ULASAN: Pada 2 Ogos 2021 yang lalu aku dan Bob sepatutnya bersama-sama hadir mengikuti YB Datuk Hj Abdullah Sani Abdul Hamid ke Parlimen namun telah dihalang oleh penguatkuasa yang telah diberi arahan oleh pihak atasan.


Kita semua maklum bahawa Parlimen adalah salah satu daripada 3 tunjang utama negara (Pemerintah-Eksekutif, Perundangan-Legislatif, Kehakiman-Judisiari) yang punya peranan besar dalam memastikan negara sentiasa berada di atas landasan yang sepatutnya.


Sekiranya salah satu daripada tunjang ini dimanipulasi atau dinafikan peranannya, tentunya ia akan memberi kesan besar kepada perjalanan negara.


Tutup ruang semak imbang


Tetapi ini yang telah kita lihat sewaktu pemerintahan 17 bulan Kerajaan Perikatan Nasional. Tatkala Parlimen perlu memainkan peranan besar lantaran isu rakyat yang terlalu banyak berbangkit, namun pelbagai helah dilambakkan untuk menutup ruang semak dan imbang negara yang tentunya merugikan rakyat.


Hari ini, Perikatan Nasional masih merupakan komposisi besar dalam Kerajaan yang dipimpin oleh Umno. Walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba memberi jenama baru sebagai kerajaan “Keluarga Malaysia” (sebenarnya dalih untuk sembunyikan pergaduhan dalam menentukan ini Kerajaan PN atau BN), ia masih tidak dapat menutup pekung bahawa inilah juga Kerajaan sama yang turut diakui oleh Umno sebagai #KerajaanGagal hingga gigih bermesyuarat dan membuat sidang sampai pukul 1 pagi bagi membentangkan 7 bukti Kegagalan Kerajaan lalu.


Agak melucukan apabila perutusan khas pertama Ismail Sabri selaku PM menyentuh bahawa “peralihan kerajaan dan pertukaran Perdana Menteri merugikan rakyat”. Inilah usaha pembodohan paling awal PM kepada rakyat, sedangkan rakyat semua tahu parti mana yang bersama-sama berkumpul di Hotel Sheraton ? Umno; Parti mana yang mesyuarat hingga 1 pagi untuk gelar PN Kerajaan Gagal? Umno; Parti mana yang Ahli Parlimennya seramai 15 orang menarik sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin? Umno; tiba-tiba yang dipersalahkan Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan dan gabungan pembangkang.


Pembangkang bukan ancaman?


Anwar Ibrahim dan PH khususnya DAP akan sentiasa menjadi “punching bag” dan “kambing hitam” demi survival Parti komponen BN dan PN. Sedangkan kita semua tahu apabila hilang kuasa, PN-BN hulurkan tangan kepada Anwar Ibrahim dan DAP juga, adakah ketika itu Anwar Ibrahim dan DAP bukan “ancaman” sepertimana yang sering dimomokkan saban kali sebelum ini oleh gerombolan mereka?


Maka ini menjadi pengajaran dan pengalaman terbesar kepada rakyat untuk melihat bagaimana propaganda politik jijik ini sedang memainkan peranan yang cuba mendoktrinkan pemikiran rakyat. Rakyat perlu meletakkan kepentingan mereka sebagai asas dalam membuat pertimbangan dalam memilih Kerajaan nanti. Tentunya asas yang perlu menjadi keutamaan sekarang adalah soal kesihatan, ekonomi, pendidikan dan kemampuan kerajaan meletakkan negara di atas landasan pemulihan.


Walaupun pelbagai inisiatif diperkenalkan sekalipun, tetapi kes jangkitan dan kematian akibat Covid 19 terus tinggi, peniaga terus gulung tikar, pengangguran terus meningkat, sektor pendidikan terus bercelaru, itu adalah isyarat bahawa ada yang tidak kena dengan polisi dan pendekatan yang digerakkan Kerajaan.


Kerajaan gagal 2.0


Maka rakyat ingin melihat, sejauh mana Kerajaan yang 90% sama dengan Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini dapat segera menangani semua permasalahan yang berbangkit dan gagal diselesaikan oleh mereka sewaktu menjadi Menteri di zaman Perikatan Nasional yang lalu.


Untuk aku, dalam tempoh singkat menjelang PRU-15 nanti, aku mengharapkan agar Parlimen diberi peranan lebih besar agar usaha pemulihan negara dilaksanakan melalui peranan penting Parlimen.


Jawatankuasa di Parlimen yang melibatkan rentas parti perlu diperkasakan, peruntukan Ahli-ahli Parlimen secara adil perlu disalurkan melalui Parlimen, akta-akta penting seperti Akta Anti-Lompat Parti perlu disegerakan supaya malapetaka sama yang memporak-perandakan kestabilan politik negara tidak lagi berulang pada penggal pemerintahan yang mendatang.


Inilah yang aku harapkan sempena mengambil mood Hari Kebangsaan hari ini. Aku harapkan rakyat Malaysia juga dapat bersama membantu membetulkan negara melalui usaha dan suara mereka.


Teringat aku pada petikan puisi Usman Awang pada 1948 bertajuk “Jiwa Hamba”;


“Kalau hidup ingin merdeka,

Takkan tercapai hanya berkata,

Tetapi cuba maju ke muka,

Melempar jauh jiwa hamba”


Selamat Hari Kebangsaan ke-64


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Mersing, Johor

0 comments

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page