Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Satu perkara yang jelas apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan minat untuk menyertai KEADILAN ia dengan sendirinya memperlihatkan keyakinan beliau terhadap parti reformasi itu.
Tanpa ada keyakinan dalam dirinya, tidak mungkin Tengku Zafrul berkira kira memilih KEADILAN sebagai wadah perjuangan dalam keadaan beliau sendiri sudah berjawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Selangor.
Maka itu penulis berpendapat penyertaan Tengku Zafrul - jika benar akan berlaku - haruslah dilihat daripada sudut yang positif dan bukan berlandaskan emosi.
Berdasarkan prestasinya selaku menteri selama ini, kemasukan Tengku Zafrul tentunya membawa nilai tambah yang baik kepada KEADILAN.
Mereka yang sedia ada dalam parti tidak harus merasa curiga atau bimbang kerana lebih ramai pemimpin-pemimpin yang baik maka ia akan memastikan KEADILAN bertambah baik serta terus diyakini rakyat.
Tidak mustahil selepas kemasukan Tengku Zafrul lebih ramai lagi tokoh tokoh besar yang berminat untuk turut menyertai KEADILAN.
Hak asasi individu
Memilih mana-mana parti sebagai wadah perjuangan adalah hak asasi setiap manusia yang bebas membuat pilihan berdasarkan pertimbangan mereka sendiri.
Tidak timbul isu mencuri, lompat parti atau sebagainya. Lagi pula disebabkan Tengku Zafrul bukanlah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri maka beliau tidak terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Ini bermakna dan perlu diterima hakikat bahawa beliau bebas untuk menyertai mana-mana parti mengikut nalurinya.
Tambahan lagi, UMNO dan KEADILAN adalah sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan, berpindah antara kedua-parti tidak akan menggugat kestabilan kerajaan atau menyebabkan blok pembangkang bertambah kuat.
Kekuatan atau manfaat yang diperolehi tetap tertumpah kepada Kerajaan Perpaduan.
Pendekatan politik membina
Selain itu, seperti mana dijelaskan Tengku Zafrul sendiri, fokus beliau tetap kepada rakyat berdasarkan pendekatan politik yang membina, bukan menghancurkan. Hal ini sekaligus memberi makna penyertaannya ke dalam KEADILAN adalah semata-mata bertunjangkan kebaikan kepada semua.
Oleh itu, semua pihak dalam KEADILAN haruslah berlapang dada manakala UMNO mesti ada sikap terbuka menerimanya.
Seperti ditegaskan oleh Presiden KEADILAN sewaktu berucap dalam Kongres Khas KEADILAN 2024 yang dengan jelas mengingatkan jangan ada pimpinan yang merasa tercabar apabila ramai orang luar yang mahu bersama dalam parti dan ingin menyumbang.
Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, "…biar mereka menjadi nilai tambah dan pimpinan yang ada jangan pula rasa tercabar. Teruslah bersikap profesional dan terus perkuatkan gerakan di kawasan masing masing".
Kata Presiden lagi pemimpin datang dan pergi namun yang 'hard cord' tetap akan setia walaupun dengan atau tanpa imbuhan dan jawatan. Itulah yang membezakan seorang anggota dengan anggota yang lain.
Parti dominan
Bagi penulis terbit perasaan bangga apabila semakin ramai 'orang besar-besar juga bangsawan mahu bersama kita'. Itu pertanda KEADILAN sudah semakin dominan dan menjadi intaian rakyat.
Penulis sendiri pernah punya pengalaman hidup dalam komuniti jumud dan amat 'anti KEADILAN'. Namun setelah Anwar menjadi PM secara tiba-tiba berlumba-lumba pula komuniti tersebut mahu menjadi anggota bendera biru muda.
Kini penulis merasa berbangga kerana rakan-rakan biru muda semakin bertambah dalam komuniti kami.
Apa yang penting pintu KEADILAN perlu dibuka seluasnya untuk 'orang besar dan orang kecil' menjadi anggota.
Keahlian baharu yang melonjak akan menyegarkan lagi KEADILAN di bumi Malaysia sehingga cahayanya menyinar ke pelusuk dunia.
Comments