Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan pelbagai ujian telah diharungi bersama sepanjang tahun 2021.
Katanya, walaupun pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan bukan sahaja kepada sistem kesihatan, malahan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat, tetapi umat Islam tetap diberi kesempatan untuk meraikan sambutan hari raya Aidilfitri.
"Dalam kemeriahan kita menyambut perayaan Aidilfitri yang menjelma, kita mestilah sentiasa ingat mengingati bagi mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan demi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Jangan sesekali kita lupakan mereka yang sedang dilanda musibah, dan membantu mereka sedaya yang boleh.
"Hulurkanlah apa yang termampu, sama ada wang ringgit, bantuan tenaga serta doa yang tulus, mahupun menyuarakan bantahan demi meringankan kesedihan dan penderitaan yang melanda mereka yang terkesan," katanya.
Pada masa sama, Nurul Izzah berharap pendaftaran vaksinasi harus digiatkan sebagai salah satu usaha untuk keluar dari pandemik ini dengan mencapai imuniti kelompok.
"Sebagaimana konsep yang dianjurkan dalam Islam, doa, usaha dan tawakal, ianya perlu sentiasa seiring. Insya-Allah, berkat usaha kita ini diiringi doa dan tawakal, segala kesulitan bakal meninggalkan impak positif buat kita dengan izin-Nya.
"Dari itu, saya berharap, walaupun dengan ujian-ujian ini, kita dapat merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dalam kesederhanaan. Masih banyak lagi nikmat yang telah dijanjikan Allah sekiranya kita dapat bersama-sama mengharungi waktu yang sukar ini dengan jayanya, Insya-Allah," katanya.
Comments