
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerima pujian apabila dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH yang menzahirkan pujian itu menyifatkan, kelulusan RUU Perkhidmatan Parlimen adalah langkah besar mengembalikan kuasa Parlimen dalam pentadbiran dan kewangan serta memperkukuh doktrin pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Bagaimanapun jawatankuasa itu berkata, detik bersejarah yang dilakar dalam sistem berparlimen itu merupakan permulaan.
''Seperti semua maklum, RUU yang diluluskan ini adalah versi hibrid, bukan versi ideal autonomi sepenuhnya.
''Tempoh peralihan dua tahun yang dijanjikan Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) untuk mencapai tujuan pewujudan semula Akta ini perlu terus didesak oleh Ahli-Ahli Parlimen terutamanya rakan-rakan CSO serta rakyat Malaysia.
''Proses libat urus perlu diteruskan, terutamanya melalui Jawatankuasa Bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta penyertaan bersama anggota masyarakat sivil,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, BERSIH turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin mengulangi harapan dan tuntutan agar diwujudkan sebuah Jawatankuasa Tetap khusus berkaitan hal ehwal pilihanraya.
Hal ini katanya adalah penting bagi memastikan jawatankuasa tersebut mempunyai status yang sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tidak boleh diwujudkan berdasarkan keperluan kerajaan yang memerintah kerana pilihanraya adalah asas kepada legitimasi kerajaan dan demokrasi negara.
''BERSIH akan terus memainkan peranan untuk memantau dan memastikan pelaksanaan agenda reformasi berjalan dengan telus dan efektif.
''Kami menyeru semua pihak, termasuk masyarakat sivil dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus memainkan peranan dalam menuntut reformasi institusi demi sebuah demokrasi yang lebih matang dan berfungsi.
''Dengan adanya autonomi Parlimen yang lebih kukuh ini, diharapkan sistem tadbir urus negara dan pembuatan dasar dapat diperkasakan serta membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat terbanyak,'' katanya lagi.
Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
RUU tersebut bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ia kemudian diluluskan melalui undi belah bahagi dengan sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen, selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.
Kommentare