
Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini mengenai kesediaan parti itu menjalinkan kerjasama dengan UMNO mungkin merupakan petunjuk signifikan bahawa terdapat masalah serius dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim, petunjuk itu membayangkan dalaman PN yang semakin rumit dan mencabar.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak hubungan antara Pas dan Bersatu makin tegang, terutamanya berkaitan pembahagian kuasa dan pengaruh antara kedua dua parti.
''Pas telah berulang kali menonjolkan aspirasi untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam gabungan tersebut, sementara Bersatu berusaha mempertahankan kepimpinannya.
''Kenyataan terbuka Datuk Seri Hamzah ini boleh ditafsirkan sebagai langkah strategik yang membawa mesej tegas kepada Pas iaitu Bersatu mempunyai pilihan alternatif sekiranya kepentingan mereka terancam.
''Ini menunjukkan bahawa Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang percubaan untuk mempersoalkan kepimpinan mereka dalam PN,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Sejak awal PN, Khairol berkata, gabungan itu telah menampakkan keretakan dalaman yang ketara.
Gabungan tersebut dakwanya, sering bergolak dengan persaingan kepentingan dan agenda berbeza, menjadikan kestabilan jangka panjang sukar dicapai.
''Sebarang kerjasama dengan UMNO pasti akan memperdalamkan lagi keretakan dalam PN.
''Lebih mengejutkan, meskipun kedua-dua Bersatu dan Pas pernah melancarkan kritikan keras terhadap UMNO, kini mereka sendiri menunjukkan keterbukaan untuk menjalin kerjasama.
''Ini bukan sahaja mencerminkan inkonsistensi prinsip, tetapi juga membuktikan bahawa politik mereka lebih didorong oleh pragmatisme kuasa berbanding ideologi yang didakwa selama ini,'' katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau mempersoalkan, jika PN sendiri gagal menyelesaikan persengketaan dalaman dan terus dilanda ketidakpercayaan antara komponen, bagaimana mereka dapat meyakinkan rakyat tentang keupayaan mereka untuk menerajui negara dengan berkesan?
''Pemuda AMANAH Perak menegaskan bahawa kestabilan politik adalah asas penting untuk kemajuan negara.
''Kepimpinan yang berwibawa dan bersatu adalah keutamaan untuk memastikan pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
''Kita tidak mampu berkompromi dengan aspek ini demi masa depan negara,'' tegas beliau.
Pada 21 Mac lalu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mengeluarkan kenyataan bahawa Bersatu bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Katanya, tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja.
Comments