Parti Bersatu Bahagian Jeli dilapor lumpuh susulan lapan ketua cawangan dan 18 Srikandi Jeli mengumumkan meletak jawatan dan keluar parti bersama 1,000 ahli lain.
Tindakan ini menyusuli penyertaan 480 ahli Bersatu Gua Musang ke dalam UMNO minggu lepas, yang melumpuhkan 12 cawangan di kawasan itu.
Jurucakap Bersatu Jeli, Rodzi Muhammad yang juga bekas Timbalan Ketua Cawangan Kedai Kuala Balah berkata tindakan itu dibuat susulan rasa kecewa dengan percaturan politik pimpinan Bersatu pada peringkat pusat dan negeri yang dilihat begitu lemah.
"Bersatu bukan lagi parti dominan orang Melayu dalam PN (Perikatan Nasional) yang orang Melayu boleh bergantung harap memperjuangkan nasib orang Melayu, Islam dan negara.
"Bersatu dilihat begitu lemah dalam percaturan politiknya. Bersatu seakan jelas dipermainkan, digula-gulakan oleh Pas dalam PN," kata Rodzi dipetik.
Pada sidang media itu Rodzi turut memaklumkan mereka memilih untuk beralih sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sukarela tanpa paksaan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"....kami melihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar lebih berkarisma dan kami yakin PMX (Anwar) boleh memacu negara ke tahap lebih baik demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat Jeli," tambahnya.
Comments