Pemimpin tertentu masyarakat India diingatkan untuk tidak menyebarkan fitnah atau maklumat salah bagi tujuan meraih undi komuniti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan menjelang 11 Mei ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata perbuatan memfitnah wajar dihentikan kerana tidak membantu dalam usaha kerajaan membangunkan masyarakat India.
"Kita sedih apabila mereka buat fitnah. Sebagai contoh, apabila kita (agensi kerajaan) buat pengumuman bantuan yang telah disediakan, mereka akan cari cara untuk putar belit benda itu.
"Apabila mereka menyebarkan maklumat yang salah, ia akan membuatkan komuniti ini tak dapat menikmati bantuan yang telah disediakan. Yang jadi mangsa siapa? Komuniti India juga," katanya dipetik.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata begitu kepada pemberita selepas meninjau sesi Ramah Mesra Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di Hulu Selangor pada Khamis.
Ramanan sementara itu menyatakan harapan agar pemimpin India yang lain akan turun padang dan memberi penerangan kepada komuniti itu mengenai pelbagai inisiatif kerajaan bagi membantu kaum berkenaan.
Langkah itu juga jelasnya bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan fitnah yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Comments