Oleh: Abdullah Zaid
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyeru para pengundi Parlimen Kemaman memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi menerajui kawasan tersebut.
Hal itu katanya, jika kemenangan berpihak kepada gabungan PH dan BN dapat dijadikan sebagai gerbang atau koridor baharu 'menghubungi' Kerajaan Perpaduan kerana kerajaan pusat tiada lagi kerusi Parlimen di Terengganu.
"Kemenangan ini mampu memberi satu suntikan semangat baharu kerana Terengganu tiada akses terus kepada pusat.
"Jadi sekiranya Parlimen Kemaman beralih ke kerajaan pusat ia dapat memberikan pelbagai bantuan dan manfaat kepada rakyat di kawasan ini," katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, mengenai kemampuan calon, Raja Kamarul optimis bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Raja Mohamed Afandi mampu mengangkat Parlimen Kemaman ke arah yang lebih baik.
"Dari segi calon kita (Raja Mohamed Afandi) beliau sangat berwibawa, dan saya yakin beliau boleh mengangkat suara rakyat Kemaman dan menjadikan kawasan ini sebagai contoh baik di Terengganu," ujarnya.
Pagi tadi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Farhan Abdul Wahab mengumumkan Perpaduan Raja Mohamed Afandi sebagai calon nombor satu mewakili blok perpaduan bagi merebut kerusi Parlimen Kemaman.
Manakala Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula diumum sebagai calon PN mewakili blok pembangkang.
Comments