Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan dari DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang)
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap yang bakal berlangsung tidak lama lagi adalah pilihanraya kelapan yang terpaksa diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Tujuh PRK yang diadakan sebelum ini ialah Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, DUN Pelangai, DUN Jepak (Sarawak), Parlimen Kemaman dan DUN Kuala Kubu Bharu.
PRK Sungai Bakap bakal ditetapkan tarikhnya pada 6 Jun ini dan ia diadakan berikutan wakil rakyatnya daripada Pas, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Berbanding tujuh PRK yang diadakan sebelumnya, Sungai Bakap dikira amat penting kepada KEADILAN kerana ia merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 yang perlu ditandingi oleh parti itu.
Memenangi PRK Sungai Bakap bukan sahaja penting untuk imej KEADILAN selaku peneraju Kerajaan Madani, bahkan juga penting kerana Perdana Menteri adalah Presiden KEADILAN dan berasal dari Pulau Pinang.
Dalam PRN Pulau Pinang Ogos 2023 lalu, calon Pakatan Harapan (PH) dari KEADILAN ialah Nurhidayah Che Rose yang merupakan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pulau Pinang.
Kalah tipis
Beliau hanya tewas dengan kekurangan 1,563 undi kepada Allahyarham Nor Zamri.
Di atas kertas, oleh kerana calon yang bertanding dalam PRN lalu ialah daripada Wanita KEADILAN maka sewajarnya ia kekal ditandingi oleh calon daripada Wanita KEADILAN.
Kekalahan tipis dengan hanya 1,563 undi menggambarkan Wanita KEADILAN mempunyai kekuatan yang hampir seimbang dengan pihak lawan.
Seterusnya, beliau perlu diberi peluang kedua dan pertimbangan itu sangatlah dialu-alukan.
Berdasarkan perkembangan semasa, beliau diyakini mampu merampas kerusi tersebut daripada tangan Pas dalam PRK akan datang.
Pertimbangan pucuk pimpinan
Dalam hal ini, pertimbangan pucuk pimpinan untuk terus memberi kepercayaan kepada Wanita KEADILAN bertanding di DUN Sungai Bakap amatlah dihargai.
Tambahan lagi, Nurhidayah sendiri menyatakan kesediaannya jika diberi mandat untuk bertanding sekali lagi di kawasan berkenaan.
"InshaAllah saya bersedia jika diberi peluang untuk bertanding sekali lagi mewakili Kerajaan Perpaduan. Ia akan jadi peluang untuk saya tebus kekalahan tipis dalam PRN lalu," ujarnya yang juga Ahli Majlis Seberang Perai .
Namun menurut beliau, keputusan akhir berhubung pemilihan terletak di tangan parti dan juga Presiden KEADILAN iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments