Semua pihak di Selangor diingatkan bahawa sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah di larang sama sekali.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, walaupun pihaknya menyambut baik program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama namun garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), terutamanya aspek perundangan perlu dipatuhi sepenuhnya.
"Usaha tersebut (program toleransi antara agama) disambut baik oleh Kerajaan Negeri, namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS terutamanya membabitkan faktor perundangan.
"JAIS sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular menerusi media sosial mengenai 'ajakan' untuk menziarahi ke sebuah gereja di Klang
Selain gereja, program anjuran Projek Impact Malaysia itu turut membabitkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk menziarahi masjid.
Tular poster Impact Malaysia yang mengajak belia bukan Kristian untuk menyertai program Jom Ziarah ke sebuah gereja di Klang, Selangor, Sabtu ini.
Poster itu menerangkan Projek Artikel 11, mendedahkan belia kepada agama berbeza menerusi aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk menjadikan Malaysia lebih inklusif.
Malah aktiviti bertujuan memberi pendedahan mengenai perbezaan agama, sekali gus membentuk masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi itu juga sama sekali tidak disertai belia Islam.
"Kerajaan Selangor sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama yang ada di negeri tercinta ini, justeru setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada JAIS dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut.
"Kerajaan negeri berharap pihak JAIS dan Jabatan Mufti dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak terutamanya berkenaan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain," kata Mohd Zawawi lagi.
Comments