
Kawalselia Padi dan Beras memberikan jaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) akan berada di pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac ini dengan dijual pada harga bersubdidi RM26 bagi pek 10 kilogram.
Ketua Pengarahnya Datuk Badrul Hisham Mohd berkata sebanyak 24 juta kampit BPT akan dikeluarkan sepanjang tempoh enam bulan tahun ini dengan sasaran ditumpukan kepada 400,000 keluarga miskin termasuk 77,000 miskin tegar dengan setiap ketua isi rumah (KIR) dibenarkan membeli dua pek beras setiap kali pembelian.
"Kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan untuk membuat intervensi dengan subsidi khusus sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan.
"Jadi BPT bersubsidi ini akan mula berada di pasaran bermula 1 Mac iaitu pada hari pertama Ramadan dan berakhir pada 31 Ogos ini, untuk tempoh enam bulan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju memperuntukkan subsidi RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT dapat dijual pada harga RM2.60 sekilogram di pasaran.
Peruntukan yang akan disalurkan kepada pengilang bagi mengeluarkan pek BPT susulan penetapan harga lantai belian padi yang diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa pada 16 Februari lalu.
Badrul Hisham berkata bekalan beras BPT itu akan diedar oleh 36,000 peruncit berlesen dengan tumpuan antaranya di kawasan miskin bandar.
Beliau berkata, meskipun BPT akan berada di pasaran 1 Mac ini, pihaknya merancang untuk mengedarkannya lebih awal pada Khamis ini menerusi Program Jualan Agro MADANI di Kedah yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya sebanyak 20,000 kampit BPT akan dijual kepada kira-kira 7,000 pengunjung yang dijangka menghadiri program berkenaan.
Kerajaan memberi jaminan, bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi yang akan dijual mulai 1 Mac ini tidak akan 'ghaib' dari pasaran.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata pihaknya mempunyai mekanisme memastikan setiap kampit beras dijual, sampai kepada pengguna yang disasarkan dan tidak hilang dari pasaran.
"Kita menggunakan dua lapisan kawalan, pertama secara organik iaitu pemantauan serta penguatkuasaan dan kita ada Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agro Makanan Malaysia (MAREA) yang baru ditubuhkan dan diluluskan oleh Kabinet pada 7 Februari lalu.
"Kedua menggunakan sistem pengesanan beras secara digital yang akan menjejak setiap kampit beras yang dijual, ke mana beras itu pergi, ke destinasi A atau destinasi B," katanya.
Tanpa memperincikan system tersebut, beliau berkata pihaknya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan pengesanan jejak
beras yang berada di pasaran bagi mengelakkan manipulasi.
"Kita ada 'war room' beroperasi 24 jam dan dengan sistem AI membantu buat 'tracing and tracking' (penjejakan dan pengesanan), maka (kita yakin) subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasar," katanya.
Kommentarer