Harga Beras Putih Import (BPI) dijangka akan mengalami penurunan susulan keputusan kerajaan menurunkan harga BPI daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa mulai Ahad, 1 Disember 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penurunan harga diperingkat pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) itu adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat.
Beliau optimis langkah itu akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah.
"Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan BERNAS baru-baru ini.
"Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Mohamad Sabu menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh.
Usaha itu sebagai memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik selain memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua mengumumkan penurunan harga BPI di pintu gudang BERNAS di Semenanjung.
Pada Mac lalu harga BPI diturunkan daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik dengan menyaksikan berlaku penurunan harga jualan BPI antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10kg di peringkat runcit.
Comments