Sukarelawan prihatin yang mengambil tanggungjawab menerangkan perihal Kerajaan Madani ke peringkat akar umbi diberi latihan dalam Bengkel Latihan Sukarelawan Madani yang diadakan pada 22 hingga 23 Julai ini di Hotel Adamson, Kuala Lumpur.
Menurut aktivis rakyat, Saiful Annuar Sulaiman yang mengikuti kursus dua hari itu, bengkel yang dianjurkan oleh NGO Gerak Bakti Harapan Malaysia tersebut bertekad melatih seramai mungkin Penggerak Madani bagi memperjelaskan hala tuju sebenar kerajaan di tengah tengah badai tohmahan dan fitnah yang dilempar pembangkang, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Bengkel ini dirasmikan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Malaysia
"Semasa ucapan perasmian beliau, Shamsul antara lain mengingatkan peserta tentang bidang kesukarelawanan yang memerlukan kefahaman asas khidmat secara sukarela di samping membina dan memperkukuhkan ukhwah dan silaturahim di tengah tengah masyarakat.
"Tujuan utama sukarelawan yang dikenali sebagai Skuad GBH Sukarelawan Madani ini ialah turun membuat penerangan ke tengah masyarakat iaitu berkenaan konsep serta membina kefahaman teras falsafah Madani," katanya.
Menurut Saiful Annuar lagi, kursus kali ini khusus untuk memberi pengalaman serta pendedahan kepada lebih 65 orang sukarelawan terpilih dari sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan teknik dan kaedah mendekati masyarakat serta memberi penerangan secara yang mudah difahami rakyat.
Dalam pada itu, katanya, Pengerusi NGO Gerak Bakti Harapan Malaysia, Ramlee Mohd Moklas pula menjelaskan bahawa bengkel kali kedua itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Kenegaraan.
Bengkel itu untuk memberi pencerahan dan mendidik peserta-peserta melalui nilai-nilai Madani yang diterap bagi menolak politik songsang perkauman dan agama sempit pembangkang.
Majlis penutupan bengkel akan disempurnakan oleh Nur Azrina@ Nurin Aina Abdullah, Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan petang ini.
Comments